Tuesday, September 1, 2009

Ramadhan Mengajar Kita Mentaati Allah



Rahmat Allah

Bulan Ramadhan tiba lagi. Ianya pasti memberi sesuatu yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menghargai pemberian Allah ini. Pemberian ini menunjukkan kepada kita betapa besarnya rahmat Allah kepada hambanya. Ramadhan juga disebut sebagai bulan tarbiyyah iaitu bulan yang mendidik umat Islam. Salah satu bentuk pendidikan yang ingin dicapai daripada Madrasah Ramadhan ialah mentaati perintah Allah.

Bagaimana Ramadhan Mendidik Kita Mentaati Allah?

Tiada siapa mempertikaikan perintah Allah supaya kita berpuasa di bulan Ramadhan dan tiada juga yang mempersoalkan waktu berpuasa bermula terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Kita akur dan taat akan akan ketetapan Allah bahawa diwajibkan ke atas umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Kita juga akur dan taat dengan larangan makan, minum dan sebagainya di siang Ramadhan. Ya, kita akur dan taat dengan perintah Allah samada sedar ataupun tidak. Itulah sepatutnya yang ada pada setiap umat Islam, mematuhi setiap perintah Allah dan Rasulnya tanpa mempersoalkannya.

Sepertimana firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 36 yang bermaksud :

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata.

Inilah pendidikan yang diterapkan didalam bulan Ramadhan. Malangnya ramai dari kita yang tidak berjaya mentaati Allah diluar bulan yang mulia. Tidakkah menutup aurat sebahagian perintah Allah? Bukankah berbohong dilarang oleh syara`? Tahukah kita memutuskan silaturrahim merupakan dosa yang besar? Jika kita berjaya mentaati Allah di bulan Ramadhan, apa bezanya perintah Allah bulan yang lain?

Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah kami hamba yang sentiasa mentaatimu secara terang ataupun tersembunyi.

No comments:

Post a Comment